Friday, July 01, 2005

Bumi Sheba

Bumi Yemen yang aku kenali hanyalah ibukotanya iaitu Sana'a. Bandar-bandar lain tiada aku berkesempatan melawatnya. Sana'a seperti dikepung oleh gagasan gunung-ganang. Sebuah kota yang besar dan luas sungguhpun kepadatan bangunannya tidaklah sepadat Kuala Lumpur sementelah lagi kotaraya New York.

Di zaman moden ini, dulunya Yemen ini terbahagi kepada dua negara. Yemen Utara dengan ibukotanya di Sana'a dan Yemen Selatan dengan ibukotanya di Aden. Yang utaranya secara ideologinya berfahaman demokrasi dibantu oleh Uncle Sam termasuk Arab Saudi, jirannya di utara. Manakala yang Selatannya berfahaman sosialis dan disekutui oleh Kesatuan Soviet. Maka, berlakulah perang saudara di antara orang-orang Yemen ini. Itu cerita geopolitik era Perang Dingin.

Pada 22 Mei 1990, kedua negara bersatu. Banyak sejarah aku kena baca untuk cerita dengan lebih lanjut tapi ikut cerita yang aku dapati semasa beberapa hari bermukim di sana, penyatuannya disebabkan kuasa ketenteraan Yemen Utara telah hampir berjaya menguasai Aden. Pendek cerita, Aden dah nak kalah maka mereka bersetuju berdamai.

Kalau mahu selidiki lagi Yemen ni sudah lama tamadunnya. Kalau kita ingat tentu kita pernah dengar cerita tentang Permasuri Sheba dan sebagainya. Masa kecik-kecik dulu pun tentu kita pernah baca dan dengar cerita tentera gajah Abrahah.

Balik ke zaman sekarang dek akibat peperangan ni, pembangunan negara Yemen sekarang ini agak perlahan. Jalanraya masih kelihatan kereta, van dan lori lama yang kemek sana sini tapi masih menyusuri bandar Sana'a. Bangunannya pun tidak banyak yang mencakari langit cuma deretan rumah kedai 2 atau 3 tingkat. Yang uniknya bangunan-bangunan ini masih mengekalkan beberapa ciri tradisionalnya seperti bentuk tingkap dan verandah serta cermin hiasan berwarna biru, hijau, kuning dan merah seperti yang kita dapat lihat di masjid dan surau di Malaysia. Aku dapat mengagak bezanya dengan dulu ialah bangunan sekarang dibina dari konkrit tapi dulu mungkin dari kepingan tanah liat yang kukuh.

Pakaian orang Yemen, bagi yang lelaki masih ramai memakai pakaian tradisional mereka berjubah putih dengan serban dan igal serta pinggangnya dihiasi oleh belati bengkok yang dipanggil 'jambiar'. Ada jugak yang memakai seakan kain sarung. Aku difahamkan yang pakai sarung ni orang dari Aden atau Yemen Selatan. Kaum perempuannya pula juga berpakaian tradisional dengan ditutupi jubah hitam. Ikut pemandu kereta yang aku naiki, kalau orang Sana'a rata-ratanya pakai suit kalau berjubah pun tidak dihiasi dengan 'jambiar' itu. Yang masih memakai pisau itu datangnya dari kampung-kampung mendiami dan mencari rezeki di Sana'a.

Jadi bagi pengunjung yang pertama kali ke sini, seakan kita sedang mengembara di tahun 60 atau 70an. Tapi mengikut pengunjung yang sudah beberapa kali ke sana sudah nampak kesan positif ke atas ekonomi Yemen. Sudah ada kereta-kereta baru, jalannya pun sudah agak bersih dan kedai-kedainya pun mempunyai lebih banyak barang jualan. Yang nyata bagi ku, memang nampak jelas sektor pembinaan sedang berkembang kerana banyak bangunan baru sedang dinaikkan.

Nyata jugak bagi aku, hampir 80% kenderaan di jalanraya adalah dari keluarga Toyota - Land Cruiser, Corolla, Camry, Hiace dsbnya. Kaya sungguh pemilik AP Toyota di Yemen ni. Mengikut, pemandu kereta tadi, orangnya tinggal di Saudi tapi orang Yemenlah. Tapi kalau memandu kena hati-hati sebab orang-orang di sini main lintas je macam kereta tu diangapnya unta kut, kalau langgar pun ok.

Bangunan moden yang cantik-cantik pulak yang sempat aku tengok ialah Universiti Sana'a, Istana Presiden dan rumah Naib Presiden. Besar sungguh dan sungguh cantik. Bangunan-bangunan lama pulak sungguh unik dan menarik naik meninggi seperti kotak dan seperti keluar dari tanah dan meninggi ke atas sahaja. Ianya juga seakan struktur yang 'natural', serasi dan seperti ianya sebahagian dari bentuk muka buminya yang berbatu-batan itu. Aku difahamkan dulunya Yemen ni asalnya glasier!

Tak hairanlah Bab Al Yaman iaitu pintu kota lama dianugerahkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia tapi sayangnya aku hanya sempat lihat dari luaran sahaja.

Apapun, kenangan ku di Yemen seakan memanggil ku untuk kembali ke sana.

2 Comments:

Blogger Ayah said...

Sesungguhnya aku tak pernah sampai bumi Yemen ini. Memang pengetahuan aku pasal tentera gajah abrahah dan ratu sheeba tang menjadi isteri kepada nabi sulaiman. Ada jugak yang kata Sheeba dari Ethiopia(aku belum setuju). Satu lagi masa belajo sejarah tanah melayu, aku difahamkan ramai para cendekiawan tanah melayu datangd ari satu daerah di Yemen... bagian mana aku tak berapa ingat ...

anyway rasanya ada tokoh malaysia yang famous sekarang berketurunan dari situ... siapa yek?

5:17 AM  
Blogger skalo said...

Ada pepatah melayu yang sesuai dengan pertanyaan Ayah itu. Sudah gaharu cendana pula ...

7:08 PM  

Post a Comment

<< Home