Thursday, May 24, 2007

Ngurah Rai

Ngurah Rai adalah nama yang diberikan kepada lapangan terbang di Bali. Ianya adalah sempena nama seorang perwira kemerdekaan Indonesia semasa penentangan terhadap Belanda - Gusti Ngurah Rai.

Berada di pulau yang juga dipanggil pulau dewata ini terasa seperti di Thailand. Kenderaan di jalanraya kebanyakkannya samada MPV seperti Kijang atau trak pick-up dan motorsikal. Kereta jarang kelihatan. Atap bangunan dan rumah di tepi jalanraya yang mirip atap rumah di Kedah dan Kelantan lebih membuakan suasananya seperti berada di Siam. Apatah lagi patung-patung ukiran dari batu menghiasi tepi jalanraya dan hotel. Yang membezakan adalah penduduk di sini 85% nya adalah penganut agama Hindu dan bukan Budha.

Bagi orang Islam agak susah juga nak cari makanan yang halal di sini. Hanya 2 masjid yang kelihatan ditepi jalan dari lapangan terbang ke hotel di Nusa Dua. Restoran Padang yang aku kunjungi pula adalah restoran Minang ACC berdekatan dengan lapangan terbang. Rasanya tidak boleh lawan makanan Padang di Jakarta.

Orang di Bali ini kuat ugamanya. Hampir di setiap tempat ada pura atau tempat penyembahan mereka. Kalau berjalan di sekitar Bali pasti kelihatan satu kotak kecil yang dipenuhi bunga dan sedikit makanan diletakkan di atas lantai. Kotak tersebut sebagai penyembahan mereka dan ianya dilakukan setiap pagi. Baik-baik jangan sampai tersepak pulak …..

Orang Bali juga ramah dan murah senyuman. Hampir semua yang aku tanya belum pernah ke Malaysia. Betul juga ya. Rata-rata rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia adalah dari pulau Jawa, Sumatera, Madura, Kalimantan dan Lombok. Belum lagi terdengar dari Bali kecuali yang bekerja di spa-spa.

Orang Bali ini juga cukup kuat budayanya dan daya seninya. Ukiran batu dan kayu mereka sungguh halus dan kelihatan hidup seperti yang asli. Ini tidak menghairankan kerana kanak-kanaknya sejak dari kecil diasuh dengan seni tarian mereka. Sebagai pulau yang hampir keseluruhannya bergantung kepada pelancongan, budaya dan seninya adalah aset penting yang ditonjolkan selain dari keindahan pantainya. Sempat juga lihat tarian barong dan kecamatan mereka. Kalau yang lemah semangat jangan pula tengok mata penari-penari. Mainan matanya sangat ketara sambil mengikut paluan gamelan. Nanti tak nyenyak pula tidur.

Menurut pemandu teksi yang aku tanya ketibaan pelancong sedikit sepi selepas berlakunya pengeboman di Kuta. Tetapi kini sedikit demi sedikit mereka mula kembali ke pulau ini. Aku tidak berkesempatan ke Kuta hanya sempat ke Jimbaram untuk makan malam makanan laut menghadap laut. Sekali-sekala kelihatan kapalterbang mendarat di lapangan terbang Ngurah Rai. Menarik juga pemandangan di sini tapi risau juga tengok deruan ombak. Mana tahu ada tsunami ke apa. Satu keunikan juga semasa hendak masuk ke kawasan tersebut ada pula pemungut tol tapi bukan gaya macam kat lebuhraya Utara-Selatan kita. Tukang pungut tu seorang sahaja sambil pegang wisel dan lampu suluh … terbanglah juga 30,000 rupiah pemandu aku untuk dua buah MPV.

Semasa di lapangan terbang sempat juga urut refleksologi di bilik lounge sebelum terbang balik. Kebetulan ada 100,000 rupiah dalam poket. Apa lagi ….. kasi habis.

4 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Mahalnya bayar parking 30 ribu. Kalau 3 ribu ok kot....

9:53 AM  
Anonymous Anonymous said...

30 ribu mahal ke? Mungkin juga kut .. aku bukan reti sangatlah kalau duit dah ribu-ribu ni. Aku tengok balik wang kertas 10,000 tu mungkin kau betul sebab kaler dia lain je dengan wang kertas supir tu ... awak ni orang Lampung ke??

8:12 PM  
Blogger Ayah said...

pak kok 30 ribu bayarin parkir, waduh mahal bangat tu... orang melionaire pon nga bayar sebanyak gitu... apa bapak belionaire?

6:34 AM  
Anonymous Anonymous said...

Saya milliyarner dong

4:16 PM  

Post a Comment

<< Home