Tuesday, November 02, 2010

Jogho

Sabtu lalu iaitu 30 Oktober 2010 adalah tarikh keramat buat aku dan puluhan rakyat kelate yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil. Malah, untuk semua rakyat Kelantan kerana setelah lebih 89 tahun menunggu akhirnya Piala Malaysia menjadi milik kita. Aku bersyukur kerana menjadi sebahagian dari sejarahnya. Aku masih ingat pernah bercakap-cakap dengan arwah abang aku samada kita ni sempat ke merasa menjadi juara Piala Malaysia.

Jawapannya terjawab 10 tahun kemudian. Pengalaman ini akan lebih manis sekiranya arwah masih ada. Kami semua memang penyokong tegar "Red Warriors". Tak kiralah berapa teruknya pasukan bola Kelantan, saban minggu kami akan muncul ke Stadium Sultan Mohamad ke IV. Tidak kira hujan atau tidak ...

Bukan senang untuk Kelantan masuk ke pusingan akhir. Hanya 3 kali sebelum ini iaitu 1970, 2009 dan 2010. 2009 aku berada di bumi Arab. Geramnya nak balik tapi agak jauh. Tahun ini, bila Kelantan berjaya melayakkan diri setelah menewaskan Kedah, aku terus menempah tiket Jakarta - KUL - Jakarta.

Setelah menempah tiket kapalterbang, aku lalu pesan kepada rakan sekolah supaya membei tiket ke Bukit Jalil. Penerbangan MH726 ke KUL terasa lamanya ... sampai je di KLIA aku disambut oleh teman baik dan terus ke Putrajaya untuk sarapan.

Selesai sarapan pekena roti bakar dan teh peng di Kopitiam di Alamanda sambil berurusan. Dari Putrajaya Sentral meluncur aku dengan KLIA Transit ke KL Sentral dan seterusnya stesen LRT Ampang Park.

Makan nasi ayam dan berehat sekejap, kami ke Quality Inn KL untuk bertemu kawan SIC yang lain sambil ambil tiket bola. Beliau tiba beberapa hari lalu ke KL bersama beberapa "Red Warriors" yang lain. Setelah itu kami ke Wangsa Maju untuk mengambil rakan SIC juga sebelum bergegas ke Bukit Jalil. Sampai di Bukit Jalil jam 6 petang.

Masuk ke stadium sudah penuh dengan lautan merah penyokong Kelantan. Tiga suku stadium dipenuhi warna merah. Sudah hampir tiada kerusi untuk kami duduk. Naik turun tangga semuanya penuh. Hanya kawasan penyokong Negeri Sembilan yang kosong.

Akhirnya setelah teman aku berunding dengan polis kami dibenarkan turun ke bawah dan berdiri di tangga sahaja. Di sebelah kami kosong saja tapi dipagari polis. Ianya kawasan "buffer" di antara "Red Warriors" dan "Hoben Jang". Buat seketika botol air melayang dari kedua arah. Ada juga penyokong kedua pihak kena tahan oleh polis.

15 minit berlalu terdiam juga kami setelah Negeri menjaringkan gol melalui sepakan penalti. Bersorak sakan Jang di sebelah mengundang balingan botol air dari arah kami. Separuh masa pertama tamat kami masih ketinggalan. Rugi ni datang jauh - jauh dari seberang kalau kalah. Tapi dalam hati masih bersemangat. Pantang kalah sebelum tewas!

Paluan gendang setiap kali Kelantan menyerang membakar semangat! Akhirnya setelah serangan bertali-arus, robek juga gawang Negeri Sembilan oleh tandukan Hairudin Omar. Si kepala botak menganas hasil umpanan Norshahrul Idlan Talha. Melompat kegembiraan aku bersama semua penyokong merah yang lain. Nun di seberang agak diam.

Selepas Badri menjaringkan gol kedua seluruh isi stadium yang berbaju merah menjadi "euphoric"!! "Pialo Malaysia eden punyo tahun ni" jerit aku. Pekikan ole ole ole bersahutan. Begini rasanya menjadi juara ya kata hatiku. 40 tahun aku tunggu ...

Tahniah "Red Warriors"! Kita juara. Kalau dulu tiap kali memakai jersi Kelate aku akan berjalan megah. Kali ini akan lebih "mangok" jalanan ku .... Syukur aku pada Tuhan kerana memberi peluang aku merasakan perasaan ini ....

2 Comments:

Anonymous Mektok said...

So glad you had a wonderful and happy experience. You deserve it and it's something you'll remember fondly in your dotage.

2:21 PM  
Blogger Ayah said...

tahniah la 89 tahun menunggu...

kita tunggu tahun depan...

7:10 AM  

Post a Comment

<< Home